05 November 2008

UMNO- Pengamal Politik Wang Di Kenal Pasti - Malaysiakini

Pasukan pemantau yang diwujudkan oleh Lembaga Displin Umno telah mengenal pasti calon yang menawarkan diri bagi merebut jawatan dalam pemilihan parti Mac depan yang mengamalkan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Pengerusi lembaga itu Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata pihaknya sedang dalam proses menganalisis dan penyiasat secara serius dan terperinci, untuk mengumpulkan segala bahan bukti dan saksi bagi tujuan mengambil tindakan tegas terhadap mereka tanpa mengira sesiapapun.

"Jika sekiranya mereka yang terlibat ini akhirnya didapati bersalah, mereka akan hilang hak untuk bertanding atau sekiranya menang, kemenangan mereka boleh dibatalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebelakangan ini, khususnya di peringkat pencalonan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, pihaknya mendapati caloncalon yang menawarkan diri telah menggunakan ramai pengurus, perayu dan pelobi untuk mendapatkan pencalonan.

"Dengan adanya ramai pemantau yang kami wujudkan sekarang di seluruh negara, pihak kami telahpun mengenal pasti caloncalon yang menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah politik wang yang begitu hebat dan keterlaluan," katanya.

Beliau yang sedih dan kecewa tentang gejala amalan politik wang yang berlaku dalam tempoh pemilihan bahagian Umno yang sedang berlangsung mengingatkan semua calon serta pihak terlibat supaya segera memberhentikan perbuatan itu.

"Memandangkan masih ada berbaki 49 bahagian yang akan bersidang pada akhir minggu ini, saya ingin memberi peringatan tegas kepada semua calon dan pihak terlibat supaya menghentikan gejala yang tidak baik dan terkutuk ini agar dapat kita bersama-sama memperkuatkan Umno, demi kesejahteraan dan kebahagiaan kita dan generasi akan datang," katanya.

Proses pemilihan bagi 191 bahagian Umno yang bermula sejak 9 Okt lepas dijadual berakhir Ahad ini.

Ulasan

Apasal baru tahu ke pengamal tu...la apasal lambat sangat...satu dunia pun dah tahu...kalau mengamalkan politik wang dalam UMNO salah dan boleh di batalkan kemenangan....bagaimana pula dengan pilihanraya umum....apasal tak batal je kemenangan.....rasuah dengan duit, projek, janji...banyak oooiiii

02 November 2008

AMARAN PRESIDEN PERKUKUH PAKATAN RAKYAT

Sebuah wawancara menarik antara Wasilah dan al Fadhil ustaz Nik Mohd Abduh bin Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat .( Exco Dewan Pemuda PAS Pusat )

Saya perturunkan di sini untuk tatapan semua pihak terutama buat rakan - rakan di luar negara yang tidak dapat mengikuti wawancara tersebut di majalah mingguan Wasilah .

Satu wawancara yang cukup baik dibaca dan dihayati oleh semua agar jelas kita membentuk fikrah dalam menangani isu memperkukuh Pakatan rakyat .

Satu jawapan yang bijak dan tinggi hemahnya. Makbruk akhil Faadhil Ustaz Nik Mohd Abduh . Berikut wawancara beliau bersama mingguan Wasilah :

Wasilah : Adakah ustaz rasa isu perbezaan pandangan antara dua itu sudah selesai ?

Nik Abduh : Isu ini sepatutnya selesai kerana Tuan Guru Haji Hadi sebagai Presiden PAS telah menjelaskan apa maksud muzakarah yang telah diadakan antara PAS dengan UMNO . Tetapi dari sudut pandangan umumnya mungkin dilihat ia masih tidak selesai . Dan saya lihat benda ini macam berlaku salah faham yang saya tidak dapat ( pastikan ) sama ada ia sengaja dicetus oleh pihak tertentu atau tidak untuk memecahkan suasana perpaduan dalam PAS .

Jadi saya sebagai salah seorang pimpinan pemuda PAS Pusat , sikap saya adalah menyeru supaya kita kembali kepada asas perdamaian apabila berlaku perselisihan dalam gerakan Islam iaitu kembali kepada ketaatan dan thiqah ( kepercayaan ) .

Salah faham yang timbul dikalangan siapa ?

Salah faham dikalangan masyarakat. Massa politik di Malaysia menganggap bahawa di dalam PAS ini terdapat satu kumpulan yang mahu parti ini bersama dengan UMNO . Ini tidak betul . Sampai ke hari ini perkara ini masih diwar-warkan dan disebut - sebut .

Muzakarah yang diadakan sebenarnya tidak lebih daripada menjawab pelawaan dari UMNO . Saya sendiri dalam penulisan saya menyeru supaya pelawaan itu tidak ditolak sebab kita ini bersifat terbuka .

Keputusan dalam muktamar pun telah jelas bahawa tidak ada sebarang kesalahan apabila kita melakukan muzakarah . Ia bukan hukum hari ini tetapi ia hukum yang telah kita laksanakan sejak dulu . Kekeliruan ini hanya timbul selepas sesetengah pihak mendakwa wujud usaha untuk menyatukan PAS dengan UMNO dan itu dinafikan . Sebab itu saya kata isu salah faham ini sepatutnya sudah lama selesai .

Mungkin salah faham itu berlaku diperingkat pimpinan sendiri . Mungkin juga Tuan Guru Nik Aziz salah faham ?

Ayah ini , isu dia juga sudah selesai . Dulu dia menentang ( perjumpaan dengan UMNO ) dan kita nampak perselisihan itu berlaku . Tetapi selepas Ahli Majlis Syura bertemu dengan Ayah di JKR 10 selaku Mursyidul Am maka sudah tidak ada krisis antara mereka .

Tidak kiralah pertemuan dengan UMNO itu disebut sebuat sebagai muzakarah atau muqabalah . Ia memberi maksud yang sama walau ada sedikit perbezaan. Tetapi maknanya Ayah bersetuju pertemuan itu wujud antara PAS dengan UMNO .

Tidak timbul isu kononnya ada satu kumpulan mahu masuk UMNO. Bahkan saya mendapat maklumat yang tepat tawaran - tawaran yang dibuat oleh UMNO itu dijawab dengan syarat - syarat yang jelas oleh pimpinan yang mengadakan muzakarah . Dan syarat - syarat yang jelas itu menunjukkan PAS ini tidak akan bersama UMNO selagimana UMNO tidak memenuhi syarat Islam yang dikemukakan PAS .

Tawaran daripada UMNO tu bagaimana ?

UMNO memang mahu bekerjasama dan mahu mewujudkan kerajaan campuran bersama PAS ( dilaporkan untuk pembentukan kerajaan di Perak dan Selangor ) . Bila pimpinan kita jawab , kalau mahu bekerjasama , dasar Islam menjadi syarat yang mesti dipenuhi dan UMNO memang tidak boleh jawab .

Samaada Pak Lah atau sesiapa yang ditemui , mereka tidak dapat terima syarat Islam yang dikenakan PAS . Mereka bertemu itu pun kerana pelawaan UMNO , bukan pihak dari PAS yang memulakan .

Apa yang diputuskan dalam Muktamar baru - baru ini sebenarnya ?

Dua keputusan besar , adalah bersetuju supaya muzakarah diteruskan dan yang kedua memperkukuhkan Pakatan Rakyat .

Tetapi Presiden memberi "amaran" pula kepada Pakatan rakyat ( PAKATAN ) baru - baru ini . Bahawa kerajaan yang bakal terbentuk mesti dipandu oleh majoriti ahli parlimen Muslim .

Amaran itu adalah "formula" untuk mengukuhkan Pakatan rakyat . Itu adalah agenda PAS untuk memperkukuhkan Pakatan . Tapi bagi sesetengah pihak tindakan itu tidak akan memperkukuhkan . Namun bagi Presiden itulah caranya . Kerana kita kena ingat dalam Islam ini , apabila berlaku kerjasama diantara parti - parti politik , antara yang Islam dan yang tidak Islam , dalam fiqh Islam ada syarat - syarat yang perlu dipatuhi .

Ramai yang beranggapan ia seperti langkah terkebelakang .

Salah anggap dikalangan ahli dan masyarakat adalah biasa . Kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Nik Aziz sendiri , dalam sepuluh yang dikeluarkan ada lima yang akan membingungkan rakyat dan lima yang mereka setuju . jadi yang membingungkan itu perlu dibuat penjelasan .

Jadi kenyataan Tuan Guru Hj. Hadi itu , sepatutnya daripada pimpinan atas sampai bawah perlu menjelaskan maksud dan bila dijelaskan maksud , masyarakat boleh terima .

Tapi Salah Faham bukan sahaja berlaku dikalangan masyarakat awam . Ahli akademik juga mendakwa ada dua kumpulan dalam PAS , satu nak bersama UMNO dan satu lagi mahu kekal menguatkan Pakatan .

Bagi saya itu adalah satu kenyataan yang tidak betul . Terbentuk dua kumpulan , satu nak bersama pakatan , satu dengan UMNO ini satu fakta yang tidak betul . Ia telah dinafikan oleh Tuan Guru Hj. Hadi bahawa tidak ada seorang pun pimpinan PAS hendak bersama UMNO . Pimpinan UMNO nak masuk PAS tu adalah .

Kita menyambut pelawaan UMNO atas dasar muqabalah , muzakarah . PAS tidak pernah sebut hendak bersama UMNO dan meninggalkan Pakatan kerana hendak mengambil kuasa .

Tapi itu yang dilihat oleh penyokong di akar umbi .

Sebab itu pimpinan wajib membuat penjelasan . dan semua pimpinan PAS wajib menyatukan perselisihan pendapat . Sebab itu saya mengambil sikap bukan menyokong mana - mana pihak , tetapi saya menyeru kepada asas . Sekarang ini berlaku perselisihan faham , ia berlaku mungkin kerana salah faham atau sengaja tidak mahu faham . Tapi asasnya , apabila berlaku perselisihan dalam kumpulan Islam kita kena kembali kepada dua perkara :

Pertama ketaatan kepada Presiden . Presiden berhak buat apa - apa keputusan , apatah lagi keputusan yang dipersetujui oleh syura . Jadi pimpinan yang dibawah walaupun pedih tidak puas hati , mereka kena akur . Ini seruan saya .

Sebab apabila Presiden mula dikritik , Syura mula dikritik ia akan membawa kepada perpecahan . Pada saat inilah kena ada suara untuk mengembalikan ahli PAS kepada asas . Selepas itu baru orang akan lihat kekuatan PAS .

Sekarang ini berlaku kekeliruan dalam masyarakat kerana masyarakat sendiri melihat dalam PAS tidak bersatu . Masa inilah kalau kita memang nak jaga PAS , kita kembali kepada asas . Bagaimana nak bersatu , asasnya patuh kepada Presiden dan jangan kritik syura . Kerana syura adalah satu institusi yang dibuat sengaja untuk dipatuhi. Kerana itu adalah arahan Allah Taala .

Tetapi pimpinan PAS peringkat pertengahan sendiri begitu berani mengkritik ?

Itu jelas , dalam blog , dalam surat khabar , dalam ceramah dan dalam percakapan mereka . Semua orang yang mengikuti perkembangan politik tahu . Sebab itulah wujud dakwaan ada dua kumpulan ini .

Mereka tidak sepatutnya bercakap perkara yang akan mewujudkan sesuatu yang membesarkan perselisihan yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah . Isu ini sebenarnya mudah , tetapi kita yang memayah - mayahkannya .

Jadi adakah perkara ini boleh diselesaikan ?

Boleh , kalau semua nak kepada kebenaran . Insyaallah dan saya antara orang yang yakin ahli PAS ini telah dididik dan ditarbiah untuk sayangkan jamaah dan bersatu dalam parti Islam .

Bagaimana dengan pertembungan idea dengan parti lain dalam Pakatan. Dalam menuju pembentukan kerajaan , adakah PAS bersedia menghadapi perbezaan ideologi dengan phak lain pula ?

Apabila kita mengadakan kerjasama diantara parti - parti Pakatan yang berbeda ideologi benda pertama dan asas yang perlu kita terima bersama adalah sikap saling menghormati polisi hak - hak dan dasar masing - masing. Jangan mudah melanggar .

Kita kena terima persefahaman dalam Pakatan secara umumnya berlaku antara tiga parti besar ini ( PAS , PKR dan DAP ) selepas pilihanraya . Sebelum pilihanraya persefahaman hanya berlaku antara PAS dan PKR dan tidak pernah berlaku antara PAS dan DAP .

Tetapi selepas pilihanraya umum ke 12 , dengan kejutan keputusan pilihanraya itu DAP terutamanya sudah boleh menerima PAS . Dulu DAP tolak PAS , bukan PAS tolak DAP . Mereka keluar dari Barisan Alternatif ketika itu . Tetapi kini mereka menerima balik atas kepentingan politik bersama . Jadi apabila Pakatan diwujudkan , asas utama adalah saling menghormati.

Selepas pilihanraya beberapa bulan ini , dalam kesungguhan PAS mahu bersama - sama Pakatan merubah pemerintahan negara , wujud tanda - tanda yang dilihat dikalangan ahli PAS bahawa PAS tidak dihormati dan mereka pula tidak puas hati . Dan perasaan tidak puas hati dikalangan ahli PAS ini dibenarkan oleh Tuan Guru Hj. Hadi dalam temuramah dengan Harakah .

Maknanya Tuan Guru Hj. Hadi membenarkan rasa tidak puas hati ahli terhadap parti - parti rakan . Beliau membetulkan keadaan melalui temuramah tersebut dimana beliau katakan orang PAS bukan bodoh . Beliau cuba meletakkan PAS pada landasannya supaya PAS dihormati .

Daripada situlah kita melihat pimpinan DAP dan Dato' Seri Anwar Ibrahim terpaksa menerima bahawa kalau nak kekuatan , kena duduk saling menghormati . Terbukti PAS dalam tempoh selepas kemenangan pilihanraya tidak pernah berbuat sesuatu yang menyebabkan PKR dan DAP tidak puas hati .

PAS yang mula - mula tunjuk "kami tidak puas hati" . Tapi PKR dan DAP tidak ada sebut yang mereka tidak puas hati . Kerana apa ? kerana tidak ada benda yang PAS buat boleh mencetuskan isu sama ada ( dalam kerajaan ) di Perak , di Kedah atau dimana - mana pun untuk(rakan - rakan dalam Pakatan) merasa demikian .

Tetapi parti lain membuatkan PAS tidak puas hati ?

Ya dan Tuan Guru Hj. Hadi membenarkan rasa tidak puas hati melalui wawancara tersebut . Saya rasa hari ini pun , samada Lim Kit Siang atau Anwar boleh terima rasa tidak puas hati yang disebut Presiden dan mereka meletakkan PAS pada tempatnya .

Kita bukan nak jadi bos , PAS tidak pernah minta kena Presiden PAS jadi perdana menteri dan bukan Anwar . Kita bersetuju pada dasar Anwar duduk di depan , tetapi apabila beliau membawa ( gerakan ) , masing - masing kena melihat di belakang bahawa rakan - rakan yang ada perlu dihormati ketika beliau hendak membuat keputusan .

Boleh atau tidak dikatakan bahawa DAP sekarang sudah mula nampak Islam dari sudut yang lebih jelas .

Ya alhamdulillah , sebelum ini mereka jauh dengan PAS . Tetapi selepas PAS dilihat lebih terbuka dan DAP pun mula mengambil dasar lebih lembut . Maka akhir sekali DAP menerima PAS dan melihat bahawa melalui PAS mereka ( boleh ) kenal Islam . DAP tidak kenal Islam dengan UMNO , mereka kenal Islam dengan PAS .

Tinggal lagi mereka berani atau tidak berani , ini berlaku perselisihan dalam DAP . Sesetengah DAP berani untuk menerima sistem Islam . Sesungguhnya tidak . Dalam keadaan berani tidak berani itu lah , mereka menerima untuk berpakat dengan PAS sekali lagi , selepas mereka gagal dahulu .

Mereka keluar dari Barisan Alternatif pada tahun 1999 kerana hendak selesaikan (pertikaian ) dalaman mereka sendiri dan hari ini di atas kepentingan bersama mereka terima balik .

Adakah PAS akan adakan kongres atau muktamar khas seperti mana yang berlaku pada tahun 1972 dahulu apabila ia diadakan untuk menentu samaada PAS bersetuju membentuk kerajaan campuran Perikatan pada ketika itu ?

Isu - isu besar yang tidak boleh diputuskan secara konsensus (rundingan) atau mesyuarat jawatan kuasa peringkat tertinggi , benda yang memerlukan pandangan daripada akar umbi , maka Presiden akan membuat muktamar khas .

Muktamar khas ini kalau ikut fahaman saya untuk menentukan hala tuju besar yang memerlukan pandangan semua pihak termasuklah isu besarnya nak "join" Barisan Nasional dan sebagainya .

Tetapi tindakan menyertai Pakatan Rakyat tidak ada perselisihan . Syura tidak ada selisih , Jawatan kuasa Tertinggi pun tidak ada , rakyat pun sokong . Ini barang yang mudah . Isu kerajaan campuran dalam Pakatan adalah perkara yang mudah , tidak ada sesiapa yang menentang .

Saya ingat tidak ada satu suara pun dalam PAS ini yang menentang kerjasama dengan Pakatan. Kecuali hanya tunjuk rasa tidak puas hati . Itu biasa. Sebab itu namanya "kerjasama" . Kalau puas hati semuanya , tidak peru kerjasama , terus 'join' sahaja .

Isu Muzakarah menimbulkan banyak tanggapan negatif kepada Tuan Guru Haji Hadi . Ramai yang marah kepada beliau kerana 'berbeza' dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz . Kegagalan Terengganu ditawan PAS juga dibangkit - bangkitkan .

Bila kita menyaksikan antara dua orang yang terhormat , bila kita membesarkan perkara itu , maka kita yang sebenarnya yang sengaja mencipta perpecahan dan itu bukan jalan saya dan itu bukan jalan Islam .

Kita tahu bahawa diantara dua orang Tok Guru ini , tempat bertemu lebih banyak daripada tempat berselisih . Jadi mengapa kita tidak pergi kepada tempat bertemu tetapi membesarkan tempat berselisih .

Padahal perselisihan pandangan boleh berlaku kepada semua . Tidak ada dua atau tiga orang yang bersatu dalam semua perkara . Termasuk dalam isu ini , kalaulah berlaku perselisihan yang bagi saya sesetengahnya diperbesarkan .

Kadangkala hanya lima , tapi mereka dakwa ada sepuluh tempat perbezaan antara keduanya . Kalau ahli PAS suka nak melihat perpecahan , silakan lah ! Tapi ambil tanggungjawab bila berdepan dengan Allah swt . Itu bukan jalannya .

Saya apabila membincangkan perkara ini , saya seru kembali kepada asas . Ketua kita adalah Presiden dan Presiden terikat dengan Syura . Jadi jika berlaku apa - apa pun isu , kita rujuk kepada keduanya . Itu struktur yang kita bina dan Mursyidul Am termasuk dalam Syura kerana beliau mempengerusikan Majlis Syura .


'Paste'kan ke Blog Anda Tanda Sokongan

Koleksi Ayahanda