catatan Hj Subky latif Dan Tarmizi Mat Jam
Hj Subky Latif
ALMARHUM Dato Fadzil Noor selalu menyifatkan Ustaz Hassan Shukri sebagai akitek tak bertauliah. Dan Almarhum Ustaz Hassan Shukri menerimanya dengan senyum dan senang hati atas jolokan akitek tak bertauliah itu kerana ia satu penghormatan kepada kebolehnannya membina bangunan yang ada hubungan kegiatannya.
Mithalnya Surau Tarbiyah di Taman Melewar, Batu Caves Kuala Lumpur. Surau yang dibina kerajaan itu diberi nama Surau Tarbiyah dipercaya dia yang memberi namanya.
Nama Tarbiyah yang bermaksud pendidikan itu sangat dekat di hatinya. Apabila dia membina markaz PAS juga di Taman Melewar, lalu dinamakannya Martaz Tarbiyah PAS Pusat pula.
Semasa dia menjadi Setiausaha Agung PAS di bawah pimpinan Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor digalakkannya negeri dan kawasan PAS membina Markaz Tarbiyah masing sebagai pusat pentadbiran parti dan sekali gus menjadi musalla.
Surau Tarbiyah tadi dibina mengikut pelan disediakan kerajaan. Selama lebih 30 tahun dia jadi pengurusi surau itu macam-macam pindaan dan tambahan pada bangunan itu. Kebanyakan penyesuaian itu adalah mengikut reka ciptanya.
Ketika PAS di Wilayah Persekutuan dan PAS Pusat sukar untuk mendapatkan tempat untuk berbagai perhimpunan, Hassan Shukri, bekas Setiausasha Agung dan bekas Timbalan Presiden PAS yang meninggal tengah hari 14 Jun 2004 lalu telah membelikan satu lot tanah untuk PAS Terengganu di sempadan Selangor di Taman Melewar sebagai tapak rumah bagi pemimpin-pemimpin Terengganu yang selalu datang ke Kuala Lumpur.
Tetapi PAS Terengganu membiarkan saja tapak yang bersebelahan dengan rumah Ustaz itu. Saya selalu menganjurkan ceramah – kadang-kadang tiap-tiap minggu di rumah Ustaz Hassan. Dia tidak pernah menolak. Tetapi bila ceramah berakhir pukul 12 malam, isterinya terpaksa mengemas rumah hingga pukul 2 pagi.
Ia mengganggu anak-anaknya yang masih kecil hendak bersekolah esoknya. Lalu saya berpakat dengan PAS Taman Melewar untuk memanfaatkan tanah PAS Terengganu bagi mengadakan ceramah. Kami cadang untuk membinanya seperti kandang, memadai ada bumbung dan dinding ikut keadaan kerana ia tanah orang Terengganu. Ia boleh mengambil tapak itu bila ia rasa ia mahu bina rumah.
Bila Ustaz Hassan mendengar cadangan itu dia pun mencadangkan supaya dibina Markaz Tarbiyah. Pelan asal markaz itu digarisnya di atas tanah saja di depan tukang dari Indonesia dan pelajar-pelajar lulusan kejuruteraan yang tinggal di sekitar kawasan itu.
Dari garis di atas tanah itu mereka mendirikan rangka bangunan. Bila terdiri tiang, ada pula yang menghantar pasir, simen, besi, kayu dan lain-lian. Kami tidak banyak mengeluar modal. Ada orang datang untuk memberi belanja siling, ada yang menyumbangkan pintu dan tingkap.
Dari semasa ke semasa Uztaz Hassan mengarahkan pelajar dan tukang-tukang itu buat begitu dan begini.
Bila siap bangunan itu ada pula lot-lot sebelah dan di belakang bangunan hendak dijual. Ustaz Hassan beli dan sambung pula markaz itu di lot yang baru dibeli itu.
Sejak pertengahan tahun 1980an hingga tahun 2000 markaz itu bertambah besar dari semasa ke semasa kerana orang-orang di situ sedia pula menjual tanahnya pada Ustaz Hassan. Ustaz Hassan beli lot-lot itu untuk PAS.
Setiap kali lot baru dibeli, Ustaz Hassan membentang pelan tambahan baru bangunan. Ustaz Fadzil yang tidak pernah membantah cadangannya menyerahkan saja kepada budibicara akitek tak bertauliah itu.
Daripada sebuah bangunan dua tingkat asalnya, ia menjadi sebuah komplek yang ada dewan, bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, bilik solat bahkan ada pula tempat orang menumpang bermalam. Rombongan bas dari Kedah dan Kelantan selalu singgah bermalam di situ.
Semua reka bentuk komplek itu hasil ciptaan Ustaz Hassan sendiri.
Dia tidak pernah belajar ilmu pertukangan. Dia adalah seorang lulusan agama. Tetapi dia minat dengan mereka bentuk rumah atau bangunan menjadikan dia tahu teknik-teknik pertukangan.
Markaz Tarbiyah PAS itu adalah karya seninya.
Sejak terbinanya Markaz Tarbiyah itu PAS tidak sukar lagi mengadakan Mukktamar. Sebelumnya PAS menyewa di Dewan Bahasa untuk bermuktamar. Kadang-kadang muktamar terpaksa ditunda kerana kerajaan hendak menggunakan dewannya. Acap tempahan dibatalkan. Mungkin ia satu cara kerajaan membuli PAS.
Selepas markaz itu didirikan PAS bebas mengadakan berbagai kegiatan. Parti-parti yang bersekutu dengan PAS selalu memanfaatkannya.
Beberapa tahun lalu Pejabat Agung PAS berpindah ke Jalan Raja Laut di pusat bandar Kuala Lumpur. Markaz Tarbiyah tidak lagi jadi tempat pentadbiran. Ia digunakan untuk kegiatan lain.
Sekarang markaz itu sedang dirombak untuk dijadikan kampus bagi kolej universiti Prof. Zuklifli Mohamad. Struktur bangunan itu dikekalkan tetapi renovasinya banyak mengubah bentuk seni rekaan Ustaz Hassan Shukri itu.
Kata Ustaz Hassan pada saya kalau sebahagian dari peralatan lama dikekalkan, banyak perbelanjaan dapat diselamatkan. Kalau peruntukannya katakannya satu juta ssetengah, separuh daripadanya boleh diselamatkan untuk mentadbiran kolej itu nanti.
Akitek tak bertauliah itu memerhatikan saja pembinaan semula bangunan itu. Sebulan dua lagi mungkin dapat disiapkan. Tetapi dia tidak sempat menyaksikan bangunan itu disiapkan bagi fungsinya yang baru dan tidak dinamakan Markaz Tarbiyah lagi kerana secara mengejut dia dipanggil pulang ke Rahmatullah.
Tetapi dalam masa 25 tahun terakhir ini dia bolehlah dikira bapa pembinaan markaz tarbiyah, bukan saja bagi Markaz Tarbiyah PAS Pusat yang terseregam itu tetapi markaz tarbiyah tumbuh di merata tempat untuk memberi laluan kepada umat mengembangkan agama Allah.
Tuesday, June 15, 2010
Tarmizi Mohd Jam
HAJI Subky Latif, penulis prolifik yang bertanding bersama saya pada Pilihan Raya Umum 1985 di Parlimen Parit, dan saya di Dun Bota ketika itu; mengajak saya menziarah Ustaz Hassan Shukri di Hospital Selayang, kira-kira jam 2 petang, 14 Jun 2010, iaitu semalam. Saya bersetuju walaupun badan masih letih, kerana baru tiba dari Kota Bharu Subuh, 14 Jun itu.
Saya terus menghubungi Cikgu Ishak Surin, antara orang yang rapat dengan Ustaz Hassan. Kalau-kalau beliau mahu serta menziarah Ustaz Hassan. Tujuannya, beberapa kes dijadikan iktibar apabila masa yang diberi secara adil oleh Allah SWT, 24 jam seorang, sentiasa terhalang untuk ziarah-menziarahi.
Saya masih terkilan tak dapat menziarahi Setiausaha Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan, Allahyarham Ustaz Ahmad Ismail. Beberapa kali beliau dimasukkan ke HKL, tetapi tak bertembung dengan masa saya untuk menziarahinya hinggalah berita kematiannya dimaklumkan oleh Yang Dipertua PAS Putrajaya, Ustaz Nazir Zakaria.
Begitu juga dengan rakan kritis, yang agak akrab dengan saya, Allahyarham Cikgu MH Nordin Mohd Noor yang meninggal dunia juga kira-kira tak sampai sebulan yang lalu. Beliau telah beberapa kali direhatkan ke hospital termasuk ke IJN kerana sakit jantung. Beliau juga memohon cuti panjang sebagai Ahli Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan untuk berehat.
Saya tak dapat menziarahi mereka berdua ketika di akhir hayatnya. Terkilan benar rasanya. Maka kerana itu, saya bersetuju untuk bersama Haji Subky pergi menziarahi Ustaz Hassan yang dumasukkan ke CCU Hospital Selayang pada sebelah pagi, 14 Jun 2010.
Ustaz Hassan bersama Haji Subky tiba ke Taman Melewar dari Kota Bharu kira-kira jam 10.30 malam. Mereka tak ikuti sesi jawapan dan penggulungan Muktamar PAS Ke-56 yang di adakan di Putik, sejak 9 Jun hingga 13, Ahadnya. Haji Subky dan Ustaz Hassan bergegas pada tengahari ke Kubang Kerian kerana menghadiri akad nikah anak tunggal sdra Mohd Amin dan Noriah, rakan serta kakitangan Pejabat Agung PAS.
Dengan ditemani Abang Man (Osman), sebagai pemandu keretanya, mereka bertolak awal ke Kuala Lumpur. Sudah tiga atau empat hari mereka bermastautin di Kota Bharu, tentulah letih kerana banyak program yang terpaksa dihadiri. Tidur entah ke mana, begitu juga waktu rehat.
Abang Man khabarnya hanya mampu memandu hingga ke Kuala Krai pada petang itu. Sementara Haji Subky memang tak boleh memandu jauh, melainkan sekitar Taman Melewar sahaja. Ustaz Hassan yang keletihan terpaksa mengambil-alih pemanduan untuk balik ke KL. Sampai juga ke Kuala Lipis, sebelum diambil-alih semula oleh Abang Man.
Dalam kereta, Ustaz Hassan sudah mengadu sakit ulu hati dan terasa amat letih. Hinggakan nak buka pintu kerata pun tak upaya, kata Haji Subky. Tiba di Taman Melewar sekitar jam 10.30 malam. Tiada siapa di rumah Ustaz Hassan. Dia seorang diri, kerana isterinya Kak Dah dan anak-anak menghadiri kenduri kahwin keluarga mereka di Perak. Lazimnya, Kak Dah akan ikut serta ke mana sahaja Ustaz Hassan pergi.
Bagimana pun, Kak Dah dan anak-anak sempat pulang sebelum Subuh ke rumah pada malam itu. Ustaz Hassan mengadu sakit dan di bawa pagi itu juga ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
Tujuan Haji Subky mengajak saya ialah untuk menziarahi Ustaz Hassan. Setiba saya dan Cikgu Ishak ke rumah beliau, isteri Haji Subky, Kak Naznah, memberitahu Ustaz Hassan baru sahaja meninggal. Alangkah terkejutnya saya dan cikgu mendengarnya.
Kami meluru ke kereta untuk bergegas ke Hospital Selayang kira-kira jam 2.28 petang. Haji Subky, Kak Naznah dan seorang anaknya, menaiki kereta saya terus ke Selayang. Dalam kereta, saya melahirka rasa terkilan, kerana tidak bergambar dengan Ustaz Hassan ketika bertemu dan berbual di Kelantan Trade Center (KTC) semasa Muktamar Dewan Pemuda PAS berlangsung.
Sudah jadi kelaziman saya akan bergambar dengan mana-mana pimpinan dan kawan-kawansepnajnagan waktu muktamar, jika berkesempatan. Sebab itu saya bawa sebuah kamera digital ke mana-mana sahaja saya pergi. Unutk merakamkan sesuatu!
Ustaz Hassan dan Haji Subky bertanya dan mengajak saya berjumpa Sdra. Darji Mutalib di Hotel New Pasifik. Darji dan bekas Adun Kg. Gajah yang kontroversi era tahun 1969, Cikgu Mahmud Zainal Abidin serta Ustaz Helmi Samad Noh baru sahaja berbual, mengimbas kisah silam dan diinterbiu wartawan Harakah dan saya di kafeteria KTC, kira-kira sejam sebelum bertemu Ustaz Hassan dan Haji Subky.
Saya menghubungi Darji dan mereka berangkat ke hotel penginapan Darji dan Cikgu Mahmud pada petang itu. Saya tak dapat menghantar mereka, kerana sedang bertigas di situ. Pada sebelah malam sebelumnya, Ustaz Hassan menerima Anugerah Tokoh Pemuda PAS dari Mursyidul Am PAS sempena perasmian serentak Muktamar Dewan Pemuda,Ulama dan Muslimat. Selain beliau, Ustazah Jamilah Ibrahim, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat juga menerima Anugerah Tokoh Muslimat PAS dari Mursyidul Am PAS itu.
Ustaz Hassan nampak ceria sahaja. Tiada tanda-tanda yang mencurigakan. Beliau juga beberapa kali melintas pusat media muktamar, dan sempat saya bersalam dengannya. Kemudian terlihat beliau sedang makan mee sup barangkali, di sebuah gerai di belakang bangunan Putik, pada tengahari 12 Jun bersama beberapa kenalannya. Beliau melambai saya, dan kebetulan bersama saya, sdra Nasir Awang, Setiausaha PAS Besut, mengajak makan bersama. Tetapi kami menolak, sebab meja makan di situ penuh.
Dua minggu sebelum itu, saya pergi bersamanya ke Majlis Makan Malam Amal KUIZME di Templer Park Golf, Rawang. Banyak cerita dan bahan sejarah disembangkan sepanjang perjalanan pergi dan balik. Kisah-kisah silam, perjuangan ketika mula melabuhkan pengaruh PAS di Perak tifdak lekang diceritakannya.
Maka terkenanglah saya kepada Cikgu Ishak yang ikut serta ke majlis itu, untuk memulakan kutipan pelbagai sejarah langsung melibatkan dirinya dengan kes-kes politik tersohor yang sudah menjadi lipatan sejarah. Tujuannya untuk tatapan genarasi akan datang melihat tentang pahit getir perjuangan yang dilakukan oleh genarasi terdahulu dalam melebarkan pengaruh PAS ini.
Sebelum berangkat ke Majlis Makan Malam itu, kami bersolat Maghrib di rumah beliau. Ustaz Hassan begitu teruja menunjukkan kepada saya interbiu akhbar Era Pakatan dengan beliau yang memfokuskan isu persempadanan kawasan pilihan raya dan pengukuhan oraganisasi PAS. Itulah yang saya terasa, dan memberitahu beliau Harakah akan interbiu selepas muktamar ini. Agaknya, terlalu lambat... akhirnya Ustaz Hassan pergi dengan 1001 khazanah sejarah PAS di tanahairyang banayak lagi tak sempat dirakamkan.
Tidak lama saya dan Haji Subky serta Cikgu Ishak menunggu di hadapan pintu CCU Hospital Selayang, tiba pula Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, dari Parlimen, katanya. Kemudian kami dibenarkan masuk ziarah dan terus membawa jenazah ke bilik rekod sementara menunggu van jenazah tiba.
Saya menitiskan air mata ketika itu apabila menatap wajah Ustaz Hassan yang terkujur lesu. Beberapa pemuda PAS Gombak dan Wilayah Persekutuan yang sedia menunggu di situ, berdiri di hadapan sekujur tubuh membacakan surah Al-Fatihah. Kain yang menutup wajah Ustaz Hasssan dibuka.
Abang Man yang baru sampai, rakannya ke mana-mana untuk memandu selain sdra Zain Hashim, teresak-esak menangis. Ini menambahkan rasa sedih saya, dan sekali lagi meleleh air mata sambil diperhatikan Haji Subky. Tidak lama kemudian Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan isteri tiba.
Jenazah dimasukkan ke van kira-kira jam 4 petang tadi. Saya bersama Cikgu terus mengekori van hingga ke Taman Melawar. Di luar markaz, di jalan utama, kereta sudah sesak bagaikan ada ceramah umum kelibatnya. Rakan taulan, jiran tetangga, sanak saudara serta pimpinan PAS datang menziarah.
Di hadapan rumah Ustaz Hassan, sudah ada beberapa Ahli Parlimen PAS antaranya Dato' Kamaruddin Jaafar, Khalid Samad, Firdaus Jaafar dan Che Uda Che Nik. Setengah jam kemudian, muncul Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS. Juga kelihatan Hanipa Maidin dan Ustaz Nakhaie Haji Ahmad. Blogger MSO, Mohd Sayuti Omar dan Ibnu Hashim juga hadir.
Bacaan Yassin berkumandang di dalam rumah oleh mereka yang hadir termasuk pimpinan PAS, muslimin dan muslimat. Pagi ini, 15 Jun 2010, Selasa, jenazah Ustaz Hassan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Samadera, tidak jauh dari Taman Melewar.
Ia dikatakan akan diimami solat jenazah oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di Surau At-Tarbiyah Taman Melewar yang telah dipengerusikan Ustaz Hassan sejak sekian lama.
Terlalu banyak yang hendak diceritakan tentang Ustaz Hassan Shukri. Tetapi perjalanan akhir beliau yang tidak disangka-sangka sesiapapun, akan mengingatkan kita tentang janji Allah SWT yang tidak akan melebih atau melewatkan ajal seseorang apabila tiba masanya. - Al-Fatihah.