11 Ogos 2014
MB selangor, TGHH&MSU
05 Mac 2014
Kelantan dan selangor
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
“TAHNIAH DI ATAS MEMORANDUM PERSEFAHAMAN
ANTARA KERAJAAN NEGERI KELANTAN DAN SELANGOR”
Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin merakamkan setinggi - tinggi ucapan tahniah kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim dan kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai oleh YAB Ustaz Dato’ Ahmad bin Yakob di atas termeterainya memorandum persefahaman (MOU) antara dua entiti kerajaan ini pada hari Ahad 2 Mac 2014 lalu. MOU ini yang secara khususnya adalah merujuk kepada beberapa inisiatif kerjasama ekonomi dan perundingan dalam beberapa projek yang mempunyai kepentingan bersama rakyat di kedua-dua negeri.
PAS berpendapat bahawa MOU yang ditandatangani antara Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) adalah merupakan satu langkah permulaan yang sangat penting yang sedang diterokai antara kedua-dua kerajaan di bawah Pakatan Rakyat.
Hal ini menjadi lebih bermakna dalam kita menterjemahkan prinsip serta polisi bersama yang dipersetujui dalam Pakatan Rakyat dengan membangunkan model kerjasama sebelum berlangsungnya Konvensyen Pakatan Rakyat pada hujung minggu ini.
Kerjasama sebegini perlu terus diperkembangkan untuk memberdayakan rakyat dalam negeri ini dalam menghadapi kesan ekonomi yang semakin perit. Ini ditambah pula dengan kecelaruan fahaman dan pelaksanaan konsep federalisme yang sepatutnya diamalkan dengan adil oleh Kerajaan Pusat itu sendiri.
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
3 Jamadil Awal 1435 bersamaan 5 Mac 2014