10 Ogos 2008

Anwar Akui Hadapi Laluan Sukar Menangi Kerusi Permatang Pauh- Malaysiakini

BUKIT MERTAJAM, 10 Ogos (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui menghadapi laluan sukar untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini ekoran pelbagai fitnah yang timbul mengenai dirinya.

Beliau berkata pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadapnya itu disebarkan pihak tertentu bagi menggagalkan usahanya memenangi kerusi berkenaan.

"Saya tak jangka ia mudah kerana banyak halangan daripada orang yang menentang kita. Saya berasa sedikit sukar kerana fitnah akan bertambah dan rasuah juga akan bertambah.

"Tapi saya yakin kerana nampak sokongan rakyat bertambah baik dan mudah-mudahan kita akan menang," katanya dalam ucapan ringkas kepada kira-kira 200 penyokongnya selepas menunaikan solat hajat di Masjid Nadhoh, di sini, Ahad.

Solat hajat itu, yang turut disertai isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, diadakan pada pukul 9 pagi ini bagi mendoakan kemenangan beliau pada pilihan raya kecil itu kelak.

Anwar, yang juga bekas timbalan perdana menteri, mendakwa PKR melalui pengalaman sukar ketika menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri di Ijok berikutan adanya pengaruh wang untuk meraih undi.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan tindakan Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR mengosongkannya bagi memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding semula kerusi itu.

Anwar pernah mewakili kerusi itu sebagai wakil Barisan Nasional (BN) mulai 1982 sehingga terpaksa melepaskannya kerana dikenakan tindakan mahkamah kerana kesalahan rasuah dan liwat pada 1999.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Ogos sebagai tarikh penamaan calon manakala 26 Ogos sebagai hari pengundian.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 13,398 menewaskan calon BN Datuk Pirdaus Ismail.

Sementara itu semasa berceramah pada satu majlis di sini malam tadi, Anwar Ibrahim secara tidak rasmi memulakan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dengan membuat janji bertemakan "Agenda Permatang Pauh".

Anwar berkata jika Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan pusat dan beliau terpilih menjadi "perdana menteri", agenda Permatang Pauh adalah agenda pembangunan rakyat iaitu menurunkan harga minyak sebanyak 70 sen, menurunkan harga barang dan membasmi kemiskinan.

"Pilihan raya di Permatang Pauh ini ialah pilihan raya agenda Permatang Pauh... kita tidak mahu sentuh mana-mana isu peribadi walaupun mereka (BN) lanyak (hentam) saya", kata beliau.

Sambil mempertahankan tindakan Dr Wan Azizah yang mengosongkan kerusi itu dan dikatakan mengkhianati rakyat Permatang Pauh yang mengundi beliau, Anwar berkata tindakan isterinya ialah untuk menunaikan janji kepada rakyat di situ.

"Pada pilihan raya lepas Azizah (Wan Azizah) telah berjanji kepada rakyat Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada saya jika beliau menang dan sekarang ini beliau telah menunaikan janjinya", kata beliau.

Dalam ceramah hampir 45 minit itu, Anwar juga mempertikaikan kes liwat yang dihadapinya dengan mendakwa ia fitnah untuk memalukan dirinya malah tidak berdendam dengan sesiapa serta telah memaafkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tidak dendam dengan sesiapa pun dan telah memaafkan semua orang yang mengaibkan saya", katanya.

Tanpa menghuraikan sebarang janji baru untuk rakyat di Permatang Pauh, Anwar sebaliknya meminta rakyat memberi laluan kepada beliau untuk "mengegarkan" Parlimen.

Anwar, yang genap berusia 61 tahun hari ini, berkata: "Pada 27 Ogos ini saya masuk Parlimen, 30 Ogos Perdana Menteri bentang bajet (Bajet 2009) dan kemudian kita gegarkan parlimen dan kita ambil alih jadi kerajaan".

Ulasan
Dr Mahathir kata...jika sekiranya Anwar tidak boleh memenangi kerusi Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar dari apa yang perolehi oleh Wan Azizah maknanya itu adalah perkembangan yang baik untuk UMNO... mungkin ada kebenaran cakap Mahathir tu.

Walaubagaimanapun.....saya setuju sangat ucapan Anwar ni...boleh hilangkan sikit over konfiden petugas PR. Samada ucapan Anwar tu betul-betul serius atau hanya untuk meredakan over konfiden petugas....kita sama-sama kena perhati

Tiada ulasan:


'Paste'kan ke Blog Anda Tanda Sokongan

Koleksi Ayahanda