28 April 2009

kerja - kerja bodoh dalam pas (2)- Ust Nik Abduh


Salam Kamunting,
1)
Saya menyegerakan penjelasan ini lebih awal daripada niat asal saya untuk menangguhkannya selang beberapa hari lagi. Bagi seorang blogger, adalah sayugia dan menarik untuk memerhatikan tindak balas daripada para pembaca dan masyarakat di luar terhadap apa yang dilontarkannya.
Saya tahu tulisan saya akan masuk akhbar dan menghangatkan dunia blog dan politik. Justeru apabila ia benar - benar terjadi, saya memerlukan sedikit masa untuk melihat, mengukur dan memutuskan sesuatu yang akan lebih mencorakkan apa yang saya inginkan daripada tulisan asal saya. Saya akan gagal jika arus luar menghanyutkan dan memesongkan saya daripada tempat tuju saya.
Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.

Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.
Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.
Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.
Allah mengarahkan pemuka - pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan. Jika pemuka - pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.
Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya.
Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah. Saya tengah menulis pasal bola sepak dan tahniah saya pada pasukan Kelantan dan Selangor yang telah menyajikan permainan yang bagus dalam perlawanan akhir piala FA.
Saya pastinya tersentak. Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. AlhamduliLlah, ia mengesankan walaupun perbualan hanyalah sekitar dua tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.
Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.
Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.
Selang beberapa jam, belum pun saya mula menulis, saya diberitahu bahawa sekumpulan insan sedang bergembira kerana hal Nik Abduh telah selesai. Ayahandanya telah mengarahnya berhenti buat cerita! Saya tersentak lagi. Wah, ada insan yang begitu teliti pekerjaannya sehingga dia tahu isi perbualan saya dengan ayahanda!
Sekarang anda tahu betapa saya sedang menempuh jalan yang sukar. Anda tahu saya perlukan keberanian yang sudah lama saya pohon daripada Tuhan saya. Betapa saya sering menangis memohon keberanian daripada Allah. Mengapa saya harus mendiam diri, takut dan dilanda kecewa sendirian? Dalam blog ini, saya sering menyeru agar jangan bersedih, berani kerana benar dan pelbagai dorongan ugama, tetapi saya sendiri kelu dan bisu di hadapan kebenaran yang mesti saya sampaikan kepada ayahanda. Saya melukut di hadapan pembohongan dan pemalsuan yang dipaksakan ke atas orang yang saya kasihi.
Sehingga saya tiba - tiba diberikan keberanian itu. Ia melanda - landa datang. Allah memperkenalkan saya jalan dan masanya. Saya kenal diri saya. Saya mampu mengesan, dengan izinNya bahawa sesuatu itu daripada nafsu atau daripada suluhan taufikNya. Ini untuk saya dan diri saya. Justeru saya mulakan dengan nama Allah. Anda pun telah membacanya.
AlhamduliLlah, dalam seketika sahaja saya dihujani tahniah. Ia tidaklah mengujakan saya sehinggalah saya menerima ucapa terima kasih daripada seorang yang saya sayangi. Dia guru saya dan guru ratusan ribu ahli PAS seluruh negara. Saya bertanya adakah saya telah mengganggu dan merosakkan jamaah? Jawabannya tidak. Ia dinikmati oleh mereka yang cintakan keharmonian dan para ulama yang saya maksudkan daripada tulisan saya.
Akhirnya, keberanian turut melanda mereka yang faham tetapi takut dan bersimpati daripada kalangan guru dan sahabat saya. Mereka berjanji untuk turut bersama. Saya bersyukur kerana saya sedang mencetuskan keberanian untuk semua. Kekuatan saya bertambah - tambah dan Allah memberikan saya ketenangan yang saya perlukan saat ini.
Anda bacalah komentar para penjengok blog ini. Ia berbaur antara puji dan keji. Inilah suara rakyat. Inilah suara yang saya mahukan setiap pemimpin bersimpati dan bertanggung jawab ke atas mereka. Mereka memuji dan mencela dalam arus yang diciptakan ke atas mereka. Justeru arus mestilah benar agar mereka tiada tertipu oleh pemimpin.
Sekarang masanya saya menjelaskan..
2)
Saya dengan sengajanya memilih perkataan ‘pembantu - pembantu ayahanda’ dan menjadikannya umum. Saya tembak terus kerana saya mahu semua orang kena. Semua mereka yang merasakan masing - masing adalah pembantu ayahanda. Saya mahu mereka bertanya, adakah aku yang dimaksudkan?
Pastinya mereka yang tidak pernah bercakap dan menyumbang idea kepada ayahanda mengenai isu - isu politik yang saya maksudkan akan merasakan mereka terkeluar. Keluarlah anda. Sesungguhnya Allah membalas pekerjaan anda dengan kebaikan yang melimpah daripadaNya.
Saya kenal kebanyakan pembantu ayahanda. Mereka inilah kaki dan tangan ayahanda yang telah banyak menyumbang dan berkorban. Daripada Abang Lah pemandu ayahanda yang telah berkhidmat sedari saya kecil sehinggalah YB Dato Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, ada ratusan pembantu ayahanda samada di pejabat PAS Kelantan, di pejabat SUK dan di luarnya.
Saya hormati mereka dan saya tabik mereka. Kerja dan bantuan mereka mengatasi saya. Saya hanyalah seorang anak yang menjadi pembantu dalam soal - soal kekeluargaan. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah bertanya tahun lepas, di kawasan mana saya mahu bertanding? Saya mohon derhaka. Ayahanda pernah meminta saya menjadi Pegawai Peribadi di DUNnya. Saya mohon derhaka. Ayahanda akur kerana dia tahu maksud dan bebanannya ke atas saya.
Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan.
Kepada mereka saya doakan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Adapun maksud saya adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh - puluh. Semua mereka adalah benar dan betul. Kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.
Pekerjaan bodoh hanyalah satu. Dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Apabila anda memuji saya, ia tak pun meredakan kemarahan saya. Apabila anda memaki saya, ia tak pun memarakkan kemarahan saya. Saya kekal panas sehinggalah ayahanda dibebaskan daripada kerja - kerja bohong, bodoh dan jahat ini.
Ayahanda adalah ayah saya. Darah dan dagingnya mengalir di tubuh saya. Jika anda berjutaan memerangi saya, anda tak akan mampu memisahkan di antara darah dan daging kami. Saya mempertahankan ayahanda sebagaimana saya mempertahankan saya.
Saya enggan melihat kepanasan ayahanda disebabkan pembohongan dan pemalsuan. Saya enggan melihat mendung di langit perjuangan Islam. Saya enggan melihat kekecewaan daripada hukuman yang salah dan palsu.
3)
Yang menghubungkan kita dengan langit adalah al Quran dan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Apabila baginda wafat, para ulama adalah pewaris. Ulama mewarisi ilmu, iman dan taqwa. Itulah legasi kenabian. Al Quran adalah punca ilmu yang benar. Ia dijaga kekuasaannya sehingga qiamat. Allah mempersiapkan para ulama dengan ilmu, iman dan taqwa demi kelangsungan perjuangan menegakkan kekuasaan al Quran ke atas manusia.
Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.
Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.
Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata - mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!
Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan di antara ulama. Inilah kerja bodoh! Pemberi komen bernama MuhaiminSulam kata, tukarkan bodoh kepada jahat!
Saya memaksudkan mereka ini dan saya memaksudkan kerja seperti ini. Saya tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.
Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua merasa tidak tenteram. Saya menyerang dipuncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan.
4)
Saya nukilkan perbualan saya dan ayahanda pasal idea Unity Government dan Pakatan Rakyat. Saya kemukakan titik persamaan dan perbezaan. Jawaban ayahanda adalah di sebalik yang anda perolehi di luar. Saya kata ayahanda menerima hujah keharusan itu.
Saya tak kata ayahanda dah setuju dibentuk kerajaan bersama BN. Saya tak tanya pun adakah dia setuju atau tidak. Itu tidak penting. Ia tidak mengganggu apa yang saya mahukan daripada jawabannya itu.
Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia sendiri. Saya tidak memerlukan jawaban itu.
Ingat, saya bukan mendodoi Unity Government di sini. Nak berhujah, cari di tempat lain. Saya hanya mahu anda faham mengapa wujud percanggahan di antara sebelum dan selepas pertemuan itu? Mengapa sejuk sesudah panas? Saya memberitahu anda sebabnya. Sebabnya adalah pekerjaan bodoh itu.
Kerja bodoh bukan menolak Unity Government. Kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud yang tak benar dengan tujuan yang tak benar di sisi ugama.
Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan bahawa saya telah berbohong tentang kewujudan kerja bodoh itu. Jika anda sangsi, usah percaya dan usah bohongi. Saya menulis kepada pembaca di blog saya yang yakin bahawa saya tidak berbohong. Kepada mereka saya mahu memberikan rasa tenang dan yakin.
Saya juga menulis untuk disampaikan kepada pembantu - pembantu itu agar bertaubat. Kerja kamu itu sia - sia di sisi tuhan walau kamu digilai manusia dan haiwan pun.
Kemudian saya tambahkan perencah. Wujud mereka ( pembantu ) yang berang sesudah ayahanda tersenyum lebar di JKR 10 selepas pertemuan di antara anggota Majlis Syura. Mereka gagal memisahkan di antara ulama.
Jika anda mahu lawan, cukup anda buktikan saya bohong. Tidak wujud keberangan itu. Jika tidak, anda melibas pedang di angin, lalu mendakwa tubuh saya telah putus seribu.
Saya perhatikan seni hujahan anda. Tumpul dan rapuh. Saya jentik, terbang bagai abu di hujung rokok. Sila datang kepada saya di luar, mari bersabung. Saya tunjukkan anda seni berhujah yang digemari agama dan malaikat.
5)
Saya berpegang sebagai mana ahli PAS berpegang. Pakatan Rakyat adalah sebaik - sebaik temuan dan alternatif hari ini. Tulisan saya sebelum ini menyokong DSAI sebagai peneraju jika ianya disepakati. Hujah agama membenarkan. Tulisan saya sebelum ini menolak pakatan dengan BN, apatah masuk BN. Sehingga BN bersetuju untuk berubah, hukum agama mengambil tempat.
Saya menyeru kepada pembukaan. Jangan tutup apa yang Allah mahu ianya terbuka. Anda akan bernafas lebih lega dan harmoni. Anda akan lebih gagah melangkah.
Ini siasah syar’ieyah. Dua tuan guru ini adalah pakar ilmu ini. Apabila mereka bertelagah saya tak rimas pun. Saya tahu mereka akan bertemu dan bersetuju. Saya diberitahu TGHH dinasihat untuk tidak berjumpa ayahanda ketika panasnya, tetapi beliau enggan. Beliau tahu ayahanda akan reda. Reda dan ridha dengan temuan ilmu dan hujah. Itulah yang berlaku.
Tetapi, kerja - kerja bodoh mengambil tempat. Mereka inilah batu api. Batu api inilah satu kerja dosa besar yang merosakkan jamaah dan ummah. Atas kerja bodoh inilah saya doakan Allah membalas mereka di dunia agar mereka kembali sedar dan bertaubah.
Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim?
Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?
Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.
Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.
Jangan lupa blog saya. Doakan saya terus mampu menulis demi perjuangan meruntuhkan kekuasaan BN durjana.

Tiada ulasan:


'Paste'kan ke Blog Anda Tanda Sokongan

Koleksi Ayahanda