30 Julai 2008

Muqabalah @ Muzakarah: Kenapa PAS Sahaja Yang Terlarang?

Oleh Zukri Aksah

Lama dahulu sebelum Saudara Anwar bebas, Wan Azizah ada bertemu Pak Lah, Saifuddin Nasution juga ada bertemu Pak Lah, selain dari yang dinyatakan kepada umum bahawa pertemuan itu pada ketika itu adalah untuk memohon jasa baik Pak Lah bagi membenarkan Saudara Anwar ke luar negara berubat, buah-butir yang selebihnya tidak pernah diketahui penyokong terbanyak, dengar ceritanya Wan Azizah memanggil Pak Lah dengan panggilan 'Uncle.'

Saudara Anwar juga selepas bebas ada berjumpa Pak Lah ketika rumah terbuka Hari Rayanya, selain kenyataan umum bahawa pertemuan itu semata-mata adalah untuk merakamkan ucapan terima kasih Saudara Anwar kepada Pak Lah kerana tidak mencampuri urusan penghakiman kesnya, yang lain-lainnya juga tidak pernah diketahui oleh penyokong terbanyak. Kita juga tidak pernah lupa bahawa Saudara Khairy Jamaluddin ada bertemu Saudara Anwar selepas bebasnya, selain alasan menguruskan passport, perbincangan lain antara mereka tidak pernah pula cuba dikorek oleh orang-ramai.

Tidakkah semua itu namanya muqabalah, tidakkah sebahagiannya melibatkan muzakarah? Walaupun ada dari insiden di atas yang terus kelam sampai sekarang, nampaknya sama ada Saudara Anwar, Wan Azizah mahupun Saifuddin Nasution tetap terus teguh dan kekal bersama Parti Keadilan Rakyat khususnya dan Pakatan Rakyat amnya.

Tetapi mengapa ia harus menjadi dilema, mencetuskan polemik bilamana muqabalah atau muzakarah sebegini, iaitu pertemuan dengan Pak Lah selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno, melibatkan pimpinan PAS? Meyakini seratus peratus tindakan Saudara Anwar, Wan Azizah dan Saifuddin Nasution tetapi mempersoalkan pula tindakan beberapa pimpinan PAS, samalah seperti kita mengatakan kita yakin akan kekuatan jiwa dan pendirian Saudara Anwar, Wan Azizah serta Saifuddin Nasution tetapi ragui kekuatan jiwa dan pendirian pimpinan PAS, kita letakkan jiwa pimpinan PAS di tahap lemah dan lembik, kita andaikan pendirian pimpinan PAS adalah rapuh dan mudah disogok. Betapa berdosanya kita jika ini tersebar menjadi fitnah, apatah lagi mereka ini adalah pimpinan jemaah Islam.

Ya, saya tahu wujud beberapa asas terhadap dilema dan polemik ini. Pertamanya adalah kerana kesilapan lampau yang dibimbangi terulang, kedua kerana ini berlaku pasca 8 Mac 2008, selepas runtuhnya kerajaan Umno dan BN di lima buah negeri, hilangnya kerusi-kerusi strategik Umno dan BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hilangnya dua pertiga majoriti BN di Parlimen, PAS dibimbangi akan dipujuk lagi oleh BN untuk memasuki BN bagi memperkuatkan kembali BN, selepas BN kembali kuat, PAS akan ditendang seperti sampah…

Soalnya kenapa itu yang tergambar di kepala kita bila pimpinan PAS berjumpa Pak Lah? Gambaran PAS akan masuk BN, PAS kena tipu dek Umno, PAS dipermainkan Umno dan sebagainya… Benar, pihak Umno seperti yang diakui Khir Toyo telah menawarkan apa yang dibimbangi itu, PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan menubuhkan kerajaan Negeri Selangor bersama Umno, tetapi itu politik Umno, biarlah dia dengan caranya, tiada apa-apa yang luak pun. Apakah kita ada terdengar PAS hadir dalam muqabalah atau muzakarah itu dengan membawa agenda yang sama? Menawarkan diri untuk membubarkan Pakatan Rakyat dan bercium mulut dengan Umno? Tidak ada bukan! Yang terbukti, sekolah agama rakyat di Kelantan akan mendapat bantuan kerajaan persekutuan, akhbar Harakah mendapat kembali permit dua kali seminggunya, tinggal lagi masalah tahanan ISA yang belum dapat diselesaikan. Jelas bahawa pimpinan PAS hari mempunyai kebijakan politik yang tinggi, sebab ada sesetengah tuntutan perjuangan yang boleh diselesaikan di meja rundingan, bukan di jalanraya atau dalam pilihanraya!

Sejarah perjuangan Islam yang panjang membuktikan bahawa muqabalah atau muzakarah dengan pihak lawan boleh diadakan selagi ia boleh memberi manfaat kepada Islam dan ummah sama ada secara tersirat atau tersurat, sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah sudah sering diceritakan orang, kaedah dakwah Assyeikh Syahid Al Imam Hassan Al-Banna juga penting untuk dijadikan rujukan dalam situasi sebegini, bagaimana beliau masuk ke kelab malam untuk berdakwah, sehingga akhirnya kelab malam itu bertukar menjadi sebuah surau! Kalau berjumpa pemilik kelab malampun boleh membuahkan hasil dalam dakwah, maka bukanlah sesuatu yang terlarang untuk PAS berjumpa dengan pimpinan Umno.

Kepada sahabat-sahabat ahli PAS sekalian, kita sudah berbai'ah dengan PAS, maka eloklah kita menuruti rukun bai'ah sepertimana yang juga diperturunkan oleh Assyeikh Syahid Al Imam Hassan Al-Banna lewat Risalah Ta'limnya, iaitu Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Berkorban (Tadhiyah), Taat, Thabat, Tajarrud, Bersaudara (Ukhuwwah) dan Thiqah.

Oh ya, ada pesanan untuk Saudara Karpal Singh, seeloknya saudara menekuni terlebih dahulu lapis ayat Bahasa Melayu sebelum mengkritik apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz, nanti kalau ada orang kata saudara tak faham bahasa saudara marah.

Tiada ulasan:


'Paste'kan ke Blog Anda Tanda Sokongan

Koleksi Ayahanda