08 Mac 2010

UCAPAN KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT NEGERI SELANGOR 2010- YB UST NASHARUDIN MAT ISA


“Bermuafakat Menjunjung Amanah Rakyat

Bermuafakat Menjunjung Amanah Rakyat merupakan tema yang paling releven dan tepat untuk diperingatkan dalam keadaan suasana politik hari ini. Kepada semua ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri mestilah sentiasa beringat bahawa dalam konteks demokrasi berparlimen di Malaysia ini, rakyat adalah majikan kepada pemimpin. Mereka mempunyai kuasa yang besar untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk masa depan negara dan rakyat.

Pakatan ini yang dibina atas semangat berteraskan perjuangan rakyat haruslah lebih arif dan lebih perihatin dengan hati dan jiwa mereka. Jelas membuktikan dalam pilihanraya yang lalu rakyat menghakimi dengan adil sehingga mampu merubah komposisi dan demografi politik hari ini. Oleh sebab yang demikian, kita tidak seharusnya meletakkan kepentingan diri melebihi daripada kepentingan agama, negara dan rakyat.

Apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional di Perak jelas membuktikan pengkhianatan terhadap rakyat adalah berpunca daripada mereka sendiri. Jika ada diantara kita meletakkan kepentingan peribadi, ghairah mencapai puncak kuasa, lapar dengan harta benda, terpesona dengan kemuliaan pangkat dan kehormatan, maka saya amat mengharapkan agar kita dapat memperbetulkan niat perjuangan ini.

PAS sudah acap kali mengulangi pendirian parti untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat selagimana ia berada atas landasan yang benar dan betul. Malah, PAS juga tidak teragak-agak untuk mengadili mereka yang mengkhianati perjuangan ini. Kita harus ingat sebagai seorang Muslim, kepimpinan adalah satu tanggungjawab yang cukup berat untuk digalas dan ia hanya layak dipikul oleh mereka yang benar-benar kuat dan beramanah.

Medan pilihanraya di Malaysia menyaksikan bahawa survival PAS dalam ukuran politik turut disokong dan didokong oleh semangat muafakat dan kerjasama parti. Meskipun ia terjalin dalam kerangka ideologi dan fahaman politik yang berbeza. PAS telah bersetuju dalam pembentukan dasar Pakatan Rakyat yang pernah dideklarasikan di bumi Selangor pada 19 Disember lalu. Titik persefahaman dan pertemuan inilah yang mengikat muafakat Pakatan Rakyat dan mengemudi amanah rakyat secara bersama.

Mentadbir Selangor Dengan Penuh Akauntabiliti dan Amanah

Selangor sebuah negeri berstatus perbandaran yang meliputi kira-kira 90% kawasannya. Dan beberapa buah kawasan di negeri ini mencatatkan sehingga 400 ribu jumlah penduduk. Dari aspek ekonominya, data makro menunjukkan Selangor mempunyai kelebihan berbanding negeri-negeri lain seluruh Malaysia.

Contohnya, sebuah negeri perindustrian ini mencatatkan pendapatan purata isi rumah yang tinggi disamping mampu mengekalkan kadar kemiskinan yang rendah. Rakyat telah menikmati pelbagai skim dibawah Agenda Merakyatkan Ekonomi seperti Skim Mesra Usia Emas dan TAWAS yang ditawarkan oleh pihak kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf hidup dan meringankan beban rakyat. Selangor juga antara negeri yang mempunyai kelengkapan infrastruktur yang hebat seperti pusat pendidikan, pusat perniagaan, pusat teknologi serta merupakan sebuah pusat pentadbiran yang moden.

Kombinasi faktor ini menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional begitu terdesak untuk merampas dan menundukkan Pakatan Rakyat dalam apa jua sekalipun. Oleh itu, tidak hairanlah Ahli Parlimen Pekan dari Pahang mengambil alih tampuk kuasa parti daripada anak jati tempatan iaitu ADUN Sungai Panjang. Walaupun begitu, acuan yang digunakan tetap akan membentuk produk yang sama kualitinya.

Sehubungan dengan itu, Islam menitik beratkan persoalan amanah dan tanggungjawab. Amanah yang diberikan oleh rakyat kepada kita mesti ditunaikan dengan baik. Sebagai pemimpin Muslim, kita bertanggungjawab kepada Allah, Rasulullah SAW dan hari akhirat kelak. Begitu juga kepada pemimpin non Muslim, mereka juga mestilah berakauntabiliti kepada parti, maruah diri, pengundi dan prinsip perjuangan.

Allah SWT berfirman, “Mereka yang Kami berikan kekuasaan di muka bumi ini nescaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara mungkar” (Surah Al-Hajj : 41). Ayat yang dirakamkan dalam Al-Qur’an ini menunjukkan bahawa mereka yang berkuasa mempunyai obligasi terhadap Allah, rakyat dan menguatkuasakan perintah-perintah wajib yang perlu digalas dan dipikul oleh mereka yang mempunyai kuasa di dunia khususnya di Malaysia.

Kemenangan Pakatan Rakyat di negeri Selangor adalah satu kemenangan yang unik dan bermakna. Unik dalam erti kata tidak sebagaimana di Kelantan, Kedah ataupun Pulau Pinang. Dominasi satu parti dalam Pakatan Rakyat lebih ketara. Di Selangor ketiga-tiga parti samada PAS, PKR dan DAP saling sumbang menyumbang dan sokong menyokong dalam membentuk, melangsung dan mengekalkan kerajaan dan kemenangan ini.

Inilah model Pakatan Rakyat yang sebenar. Selangor mesti terus bertahan dan mengekalkan kemenangan ini. Pada waktu yang sama menzahirkan satu bentuk kerajaan yang adil, maju, bersih dan berkebajikan. Selangor akan menjadi sebuah model sebuah kerajaan dan bakal menambat serta meraih sokongan rakyat dari negeri-negeri lain untuk bersama merubah kerajaan negeri masing-masing daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

Pemimpin dan rakyat mestilah bersabar dalam mengemudi perubahan ini. Membina Rom bukan hanya mengambil masa satu hari. Perjalanan dalam memperjuangkan keadilan sejagat ini cukup panjang dan ia dipenuhi dengan mehnah dan tribulasi yang cukup mencabar sehingga jiwa-jiwa ini tergugat dengan keindahan dunia yang sementara.

Allah SWT berfirman, “Manusia dijadikan dengan tabiat-tabiatnya yang terburu-buru (Isti’jal)” (Surah Al-Anbiya’ : 37)

Impian kita untuk menguasai beberapa negeri dan keseluruhan Malaysia umumnya, perlulah dilakukan dengan cermat dan penuh hemah. Janganlah kita terlalu terburu-buru sehingga kita mengabaikan pekerja-pekerja bawahan parti, tidak menganalisa persekitaran politik dan tidak teliti dalam menaakul kebarangkalian masa depan survival Pakatan Rakyat. Kita mesti sentiasa bersedia dari segenap aspek samada kelancaran pentadbiran kerajaan, kebijaksanaan berijtihad dalam politik dan kewibawaan pemimpin.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan agar semua penggerak parti mengamalkan budaya kerja ini;

1. ‘Ubudiyyah
Bagi seorang Muslim, kita mesti memperbetulkan niat bahawa kepimpinan ini bukanlah satu kemuliaan tetapi ia satu tanggungjawab yang cukup berat. Sifat tawaddhu’ atau merendah diri perlu sentiasa tersemat dalam diri untuk mengelakkan rasa bangga diri sehingga wujud sikap sombong dan bongkak dalam diri.

2. Mas’uliyyah
Setiap tindakan, polisi atau strategi yang kita lakukan adalah liabiliti kepada seseorang pemimpin. Dalam prinsip demokrasi di Malaysia, rakyat bebas menilai tanpa prejudis setiap perlakuan kita dan akan membuat keputusan sewajarnya dalam kotak undi kelak.

3. Mahabbah
Hormat menghormati, bertolak ansur dan berlapang dada perlu ada dalam jiwa setiap pendukung dan pimpinan parti. Memang benar perselisihan pendapat, pertikaman lidah dan bersangka buruk itu wujud dalam Pakatan Rakyat khususnya di negeri Selangor. Namun, ia harus diurus dengan berhikmah. Kita berusaha untuk mencari titik persefahaman antara satu sama lain dan bertoleransi dalam hal-hal yang tidak disepakati. Setiap dasar parti dalam komponen Pakatan Rakyat harus diterima dengan sikap keterbukaan dan sentiasa saling faham memahami.

4. Iltizam
Komitmen untuk mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan prinsip keadilan dan ketelusan harus dilipatgandakan. Setiap program-program parti, kaderisasi, pertambahan pemilih dan kebajikan rakyat wajib dilakukan dengan penuh kesungguhan. Saya ingin menegaskan disini terutamanya kepada teman-teman seperjuangan PAS, setiap cawangan dan kawasan di Selangor harus berusaha gigih mendekati dan menambahkan keyakinan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Kita percaya bahawa politik bukan hanya permainan minda tapi ia mesti memberikan sentuhan hati dan jiwa nurani rakyat.

Demikianlah empat elemen budaya kerja yang harus dipraktikkan disemua peringkat. Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada Pakatan Rakyat Selangor kerana konsisten mengadakan Majlis Mesyuarat Pakatan Negeri dua minggu sekali. Moga platform mesyuarat ini dapat menyelaraskan agenda gerak kerja bersama dan lebih efektif. Saya yakin YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, YB Dato Dr Hasan Mohd Ali dan YB Sdr Ean Yong adalah tokoh-tokoh yang matang dan berpandangan jauh dan dapat memimpin ke arah mamantapkan lagi kedudukan Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Saya turut memberikan jaminan bahawa PAS Selangor yang diterajui oleh Pesuruhjaya Dato’ Dr Hasan Mohd Ali dan seluruh jenteranya akan terus komited dalam menguruskan kemenangan ini bersama.

Cadangan Untuk Pakatan Rakyat Selangor

1. Kita percaya terhadap kekuatan akar umbi. Persepsi itu penting tetapi keterikatan keyakinan dan pengaruh Pakatan Rakyat terhadap hati pengundi itu lebih penting. Ia memerlukan kepada jaringan hubungan yang akrab antara Pakatan Rakyat dengan pengundi tempatan.

Sehubungan dengan itu, saya ingin menyarankan agar PAS terutamanya memperkukuhkan cawangan dan kawasan. Kedua-dua tapak ini mampu menterjemah dan memberi sokongan padu kepada pemimpin. Dalam masa yang sama, pemimpin harus menjadi pendengar yang setia, perungkai masalah rakyat dan teman bicara supaya hubungan antara kedua-duanya mampu bertahan lama. Saya optimis ia boleh mengelakkan pengkhianatan terhadap rakyat dan menukar bahtera perjuangan.

2. Pemimpin Pakatan Rakyat harus sentiasa mengamalkan tiga rukun kekuatan dalam satu ketumbukan pasukan iaitu saling faham memahami, saling bantu membantu dan saling lengkap melengkapi. Ruh persaudaraan perlu disuburkan melalui kekerapan berkomunikasi dan pertemuan secara formal dan informal. Memang benar, bebanan kerja yang ada menjangkaui masa yang diperuntukkan oleh hukum alam. Tapi, saya percaya ini mampu mengelakkan pra sangka buruk, iri hati dan dengki sesama sendiri.

3. Melaburlah dalam pelaburan yang menghasilkan pulangan tinggi iaitu pembinaan karakter kepimpinan dan keperibadian pemuda. Tidak dapat dinafikan dalam sejarah perjuangan sesebuah negara, anak muda memberikan tamparan hebat dalam peta politik dunia. Perbicangan polisi, latihan kepimpinan mestilah diselarikan dengan pembudayaan etika dan pembentukan syakhsiyyah yang mulia. Masa akan menyaksikan barisan pemuda yang holistik luas pandangnya dan komprehensif pakej kepimpinannya.

4. Memperkasakan gerakan dan peranan wanita supaya ia menyokong teras perjuangan Pakatan Rakyat. Ciri-ciri peribadi wanita sewajarnya dimanfaatkan untuk kepentingan perjuangan seperti sifat keprihatinan yang tinggi, teliti dan keramahan. Ini mampu meluaskan medan dan segmentasi perjuangan memandangkan isu-isu kewanitaan akhir-akhir ini tidak ditanggapi semaksima mungkin oleh pemimpin-pemimpin wanita yang menganggotai Pakatan Rakyat.

PENUTUP

Marilah kita bersama-sama fokus terhadap pelaksanaan Dasar Pakatan Rakyat sebagai tanda muafakat politik dalam menunaikan amanah perjuangan ini. Sebarang ujian kita akan tangkis bersama bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke13 kelak. Tidak lupa juga agar kita sentiasa mengkoreksi diri supaya tidak tersasar daripada matlamat politik yang telah disepakati.

Tiada ulasan:


'Paste'kan ke Blog Anda Tanda Sokongan

Koleksi Ayahanda