12 Januari 2009

PAS yakin sokongan lebih 50 peratus

PAS yang meletakkan calonnya untuk merampas semula kerusi Kuala Terengganu yakin sokongan pengundi sudah melebihi 50 peratus.

PAS pernah memenangi kerusi ini pada pilihan raya umum 1999.
Timbalan Pengerusi Pilihan Raya PAS Terengganu, Datuk Wan Abd. Muttalib Embong berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya termasuk kunjungan dari rumah ke rumah, parti itu berada dalam kedudukan yang lebih baik.

"Berdasarkan perkembangan semasa, boleh dikatakan sedikit lebih daripada 50 peratus," kata beliau pada sidang media harian di Markas PAS Kuala Terengganu di sini, hari ini.

"Kami berada di kedudukan yang baik, tetapi perbezaan pola sokongan terlalu rapat," katanya.

Jelas beliau, pihaknya berupaya untuk mengekalkan arah aliran sokongan yang diperoleh Mac lalu.

"Kini sokongan masyarakat Cina juga mula meningkat, berpihak kepada calon PAS," katanya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengarah Operasi PAS bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu berkata, pihaknya tidak mahu berada dalam keadaan selesa dengan perkembangan tersebut.

Dalam pilihan raya kecil ini, Barisan Nasional (BN) diwakili oleh Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, PAS meletakkan Mohd. Abdul Wahid Endut dan calo Bebas ialah Asharudin Mamat @ Adam.

Pada 8 Mac lalu, kerusi itu dimenangi oleh Datuk Razali Ismail yang memperoleh 32,562 undi. Beliau menewaskan calon Bebas, Mohamad Sabu yang mendapat 31,934 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof menerima 685 undi.

Dalam pada itu, Wan Abd. Muttalib mencabar BN mengadakan debat terbuka mengenai isu royalti sebelum hari pengundian Sabtu ini.

"Tetapkan masa dan tarikh, saya akan datang... kita adakan debat terbuka untuk menjelaskan isu royalti ini," kata beliau.

PAS menggunakan pembayaran royalti sebagai bahan berkempen kali ini.

Tiada ulasan:


'Paste'kan ke Blog Anda Tanda Sokongan

Koleksi Ayahanda